Wednesday, 26 April 2017

PENILAIAN: ISU 1 - PENILAIAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN

Sudah menjadi kebiasaan selalunya gred permarkahan akan menjadi batu pengukur pencapaian pelajar. Ini kerana keputusan peperiksaan yang baik akan dapat membantu pelajar untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Di sekolah juga, guru-guru ditekankan supaya banyak memberi latih tubi kepada pelajar untuk membiasakan pelajar dengan pelbagai soalan yang akan dijawab dalam peperiksaan nanti. Dengan menerapkan sikap sebegini akan menyebabkan guru tidak berminat menggunakan kaedah yang lain di dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan menyebabkan guru-guru mengabaikan aspek lain seperti minat pelajar. Peperiksaan ini dianggap perkara yang sangat penting sama ada oleh guru, pelajar dan ibubapa. Media massa turut memainkan peranan dengan menghebahkan pencapaian pelajar dan sekolah. Ini menyebabkan timbulnya budaya atau fenomena guru mengajar hanya menfokuskan kepada isi kandungan dan kemahiran yang akan dinilai di dalam peperiksaan. Pelajar pula akan diajar untuk mengingati model jawapan dan pengiraan dengan menggunakan rumus sehingga guru akan memberikan latihan berterusan dan mengabaikan kaedah pengajaran.

Kesan yang tampak jelas apabila guru memfokuskan kepada peperiksaan sahaja adalah pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti. Ini kerana pelajar hanya akan belajar untuk lulus peperiksaan sahaja, mereka tidak dapat menerapkan ilmu yang diajar diluar bilik darjah. Ini akan memberi kesan kepada masa depan pelajar.


Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu pelajar meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian sumatif dan penilaian di peringkat pusat.

PENILAIAN : ISU 2 – PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Isu mengenai PBS ini akan dikupas kepada empat bahagian, iaitu kepimpinan guru besar, peranan guru, kebolehpercayaan dan bias dalam penilaian. Guru besar atau pengetua merupakan ketua dalam pelaksanaan PBS di sekolah yang bertanggungawab untuk memastikan PBS dilaksanakan mengikut prosedur pelaksanaan PBS serta mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang pentaksiran. Walaubagaimanapun, terdapat juga segelintir guru besar atau pengetua yang kurang faham mengenai prosedur pelaksanaan. Selain itu, ada juga segelintir guru besar yang kurang mengetahui ilmu dalam bidang pentaksiran termasuklah prinsip asas dalam pentaksiran pendidikan, pengendalian, penentuan standard dan penggunaan hasil pentaksiran.

Isu mengenai PBS juga turut berkaitan dengan guru-guru akademik. Ini kerana kebanyakan guru merasakan perubahan pendidikan dalam pelaksanaan PBS telah meningkatkan beban kerja mereka. Para guru turut menyatakan bahawa mereka bukan sahaja perlu mengajar dan malah mereka juga perlu melakukan kerja-kerja pentadbiran dan kokurikulum.

Selain itu, pelaksanaan PBS juga dilihat seperti mempunyai tahap kebolehpercayaan yang rendah. Kebolehpercayaan yang rendah adalah kerana guru kepada murid-murid itu sendiri yang akan melakukan pentaksiran ke atas mereka. Teknik, kemahiran dan pengetahuan yang tinggi mengenai pentaksiran juga amat diperlukan dalam melaksanakan PBS. Oleh yang demikian, guru-guru memerlukan pendedahan dan latihan yang banyak sebelum melaksanakan PBS.

Seperti yang dibincangkan tadi, tahap kebolehpercayaan dalam pelaksanaan PBS adalah rendah. Ini kerana, terdapat bias dalam penilaian yang dapat diperhatikan dari pebagai sudut. Dari segi pemerhatian, setiap guru mempunyai pemerhatian dan pandangan yang berbeza mengenai pelajar yang sama. Guru-guru hanya menilai apa yang mereka lihat pada mata kasar mereka sahaja. Bias dari segi lisan pula adalah berkaitan dengan soalan yang dijawab beramai-ramai akan menyebabkan guru sukar menentukan tahap kefahaman individu bagi para pelajar. Skema jawapan yang tidak setara antara guru-guru juga dilihat sebagai bias dalam pentaksiran dari segi penulisan.

PENILAIAN : ISU 3 - BIAS DALAM PENILAIAN

Isu bias merupakan salah satu isu dalam penilaian. Maksud bias dalam penilaian ialah ketidakadilan yang wujud dalam sesuatu penilaian. Terdapat tiga aspek yang dapat menjelaskan kewujudan bias dalam penilaian iaitu item soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian dan penilaian secara lisan. Bias dalam item soalan ujian ialah apabila seseorang individu yang sama tahap kebolehan, daripada kumpulan yang berbeza tidak mempunyai kebarangkalian yang sama untuk menjawab item tersebut dengan betul. Sebagai contoh bias mengikut jantina apabila item soalan yang dibina cenderung kepada satu jantina sahaja. Kebanyakan pelajar lelaki lebih mengetahui dalam bidang mekanikal,  maka jika soalan berkaitan bahagian mekanikal, pelajar lelaki lebih cenderung menjawab soalan dengan betul berbanding dengan pelajar perempuan. Oleh itu, guru haruslah mengimbangi bilangan topik dalam kertas soalan dan seimbangkan bentuk soalan.

Seterusnya ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian. Penilaian melalui pemerhatian adalah satu proses untuk menentukan apa yang pelajar tahu, hasil kerja, tingkah laku, komunikasi dan interaksi pelajar. Pemerhatian adalah perkara yang dinilai oleh guru melalui mata kasar. Namun begitu, persepsi guru terhadap pelajar menyebabkan bias berlaku dalam penilaian melalui pemerhatian. Mata kasar guru hanyalah pandangan luaran sahaja yang tidak dapat membuktikan atau menyatakan keadaan sebenar pelajar dan persepsi guru akan mempengaruhi cara penilaian atau pemarkahan. Penilaian yang di buat hanya dengan mata kasar menyukarkan guru untuk menilai tahap kefahaman sebenar pelajar.

Aspek yang seterusnya ialah bias dalam penilaian secara lisan. Penilaian secara lisan adalah satu proses untuk mengumpul maklumat semasa interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran. Perkara yang dapat dinilai secara lisan ialah tahap pemikiran, pengetahuan fakta, kefahaman konsep, keyakinan, kecekapan mendengar dan penggunaan bahasa yang tepat. Pelajar yang mengalami kesukaran dalam berbahasa, guru akan menganggap tidak mencapai tahap pemahaman yang baik. Namun begitu ianya berpunca daripada kelemahan pelajar dalam berbahasa dan tidak mempengaruhi pemahaman pelajar. Malah pelajar juga gagal berkomunikasi dengan baik dalam penilaian lisan kerana mereka berasa gugup dan ketakutan terhadap guru dan mengakibatkan pelajar kurang berani menyuarakan pendapat mereka. Oleh itu guru seharusnya gunakan borang penilaian yang standard dan kurangkan sifat bias dalam diri.

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL : ISU 1- GURU SEBAGAI KERJAYA TERAKHIR

Bidang perguruan sering dianggap sebagai profesion kelas pertengahan jauh ditinggalkan oleh bidang-bidang professional yang lain seperti kedoktoran, kejuruteraan mahupun bidang perakuanan. Masyarakat menganggap bidang ini adalah pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya profesional lain yang sesuai atau tidak mendapat kerja. Masyarakat juga menganggap individu itu boleh menjadi guru sandaran atau guru sementara tanpa ada latihan asas. Kekosongan jawatan guru sama ada di sekolah rendah mahupun menengah biasanya diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan formal sama ada di maktab perguruan ataupun universiti. Situasi ini akan membuatkan pandangan masyarakat terhadap profession ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila sesetengah pihak yang menganggap individu masih boleh menjadi guru tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat yang sepatutnya. Selain itu, masyarakat melihat kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mudah. Bagi mereka, seorang guru mempunyai cuti yang banyak sebagaimana pelajar sekolah dan masa kerja yang pendek. Walhal, beban kerja guru terlalu banyak sehingga membawa ke rumah.

Antara kesan yang dapat dilihat dalam isu ini adalah:
         • guru mengalami situasi ‘burnt-out’
         • pelajar kurang motivasi
         • prestasi akademik merosot
         • ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat tuisyen

Bagi mengelakkan isu kerjaya guru sebagai pilihan terakhir, setiap individu sepatutnya tahu arah tuju kerjaya mereka. Selain itu, mereka juga harus tahu spesifikasi dan bidang tugas yang mereka minati supaya tidak menyesal di kemudian hari. Sebagai individu yang terpelajar, guru yang memilih kerjaya ini sebagai pilihan terakhir ini juga mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab. Mereka perlu menyedari bahawa guru insan yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan pelajar. Persepsi masyarakat juga perlu diubah. Mereka membayangkan guru hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Realitinya, beban kerja guru-guru sangat banyak hingga di bawa ke rumah. 

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL: ISU 2-DISIPLIN GURU

Kebiasaannya isu yang sering didengar adalah isu disiplin pelajar, tetapi terdapat juga isu mengenai disiplin guru itu sendiri. Apabila dibangkitkan tentang isu disiplin guru, mungkin ada yang merasakan bahawa ini bukanlah suatu isu yang besar kerana ianya sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah guru yang merasakan disiplin bukan penghalang mereka mencapai tahap profesional. Antara masalah disiplin dalam kalangan guru di sekolah adalah:

       ·         Guru lewat masuk ke kelas
       ·         Guru tidak menghadiri mesyuarat
       ·         Guru sering membatalkan kelas
       ·         Guru tidak menjaga etika
       ·         Guru tidak mampu mengawal emosi

Masalah disiplin guru ini dapat dilihat kesannya terhadap pelajar. Seperti mana ibu bapa, guru merupakan role model kepada pelajar kerana guru ialah individu yang dekat dengan mereka selepas ibu bapa. Sekiranya guru mempunyai masalah disiplin, pelajar sudah semestinya akan mempunyai masalah yang sama.  Ini kerana pelajar akan terikut-terikut dengan guru mereka. Ini akan membawa kepada hilangnya rasa hormat pelajar kepada guru. Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan masa dan tekanan kerja di kalangan guru sekolah.


Antara langkah mengatasi isu disiplin guru ini ialah pengambilan guru perlu kaedah tapisan lebih baik, guru sendiri perlu ada inisiatif untuk memperbaiki diri dan guru perlu jadi contoh yang baik kepada pelajar. Di samping itu, guru yang sememangnya mempunyai masalah disiplin diri pula perlu berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik. Oleh itu, guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan diri dan melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi agar golongan itu bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran bahkan dari segi akhlak dan tingkahlaku. Kita seharusnya sanggup untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dan bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaga demi kemajuan anak muda bangsa seterusnya negara Malaysia.

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL : ISU 3 - GURU MENGAJAR SUBJEK BUKAN OPSYEN

Pelbagai isu yang sering dikaitkan dengan isu standard pengajaran profesional antaranya ialah guru mengajar subjek bukan opsyen. Sebahagian besar sekolah-sekolah di Malaysia mengalami masalah guru mengajar subjek bukan opsyen kerana kekurangan guru dan agihan guru tidak seimbang. Antara sebab berlakunya isu ini adalah ada guru yang menolak tawaran penempatan.  Ramai guru enggan melaporkan diri disekolah yang ditetapkan terutamanya di kawasan pendalaman serta di Sabah dan Serawak kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga terutama mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Ia menyebabkan penempatan guru tidak seimbang contohnya lebihan guru di kawasan bandar dan kekurang guru di kawasan luar bandar. Tambahan pula ramai graduan pendidikan menganggur kerana pengagihan penempatan guru ke lokasi yang tidak seimbang, pemilihan subjek pengajaran yang sama dan lambakan guru dalam opsyen subjek bukan kritikal.  Selain itu isu guru mengajar subjek bukan opsyen ini adalah lumrah terutama bagi guru-guru baru. Biarlah apa pun opsyen yang mereka ambil di universiti atau institusi latihan perguruan, tidak semestinya mereka akan mengajar subjek opsyen mereka itu di sekolah. Ini adalah berpunca daripada ketidaksepadanan dalam pengagihan guru di sekolah. Ia juga berpunca daripada keperluan sekolah itu sendiri yang mahukan guru mengikut kekosongan subjek yang ada.

Justeru, disebabkan oleh kurangnya konten mengenai subjek bukan opsyen yang hendak diajar, guru-guru cenderung untuk menjadi kurang yakin dan kurang bersemangat ketika mengajar. Segala konten mengenai subjek opsyen langsung tidak digunakan malah guru perlu mempelajari konten baru yang bertentangan dan tidak berkaitan dengan opsyen mereke. Justeru, pelajar pula menjadi kurang motivasi kerana mereka tahu guru tersebut tidak mempunyai konten yang cukup untuk mengajar mereka. Guru pula bersikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Impak yang paling ketara ialah penurunan prestasi pelajar. Ini menyebabkan guru tersebut tidak dapat mencapai standard pengajaran profesional.

Oleh itu, kita harus mengambil langkah-langkah untuk mengatasi isu-isu tersebut dengan menghadkan tempoh guru berkhidmat diluar bandar. Guru yang mengajar di sekolah luar bandar hanya berkhidmat dalam tempoh tertentu sahaja dan guru lain akan bertukar ganti dan begitu juga seterusnya. Selain itu, pihak kementerian pendidikan boleh memberi penghargaan kepada guru yang berkhidmat di luar bandar. Selain itu, guru juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi. Walaupun mengajar subjek yang bukan opsyen, guru boleh mencari inisiatif sendiri untuk mempelajari dan mendalami subjek yang hendak diajar itu.

Friday, 17 March 2017

ARTIKEL 1: BUDAYA SEKOLAH,KEPEMIMPINAN TRANSFORMASIONAL DAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR



Jurnal ini secara keseluruhannya kajian tentang budaya sekolah dan kekepemimpinan sekolah mampu menyumbang kepada pencapaian dan motivasi murid, kepuasan dan produktiviti guru. Kajian ini juga meneliti hubungan budaya sekolah dengan kepemimpinan transformasional dan pencapaian akademik pelajar sekolah rendah. Ulasan ini hanya menfokuskan tentang jurang pencapaian pelajar sekolah berprestasi tinggi dan sekolah berprestasi rendah dipengaruhi oleh budaya sekolah dan kekepemimpinan sekolah. Dapatan kajian mendapati budaya sekolah positif lebih tinggi dipraktikkan di sekolah berpencapaian tinggi berbanding di sekolah berpencapaian rendah. Situasi yang berbeza ini mungkin sekali disebabkan oleh ciri budaya positif yang menjadi amalan di sekolah. 

Di sekolah berprestasi tinggi, guru seronok dan selesa dengan budaya sekolah kerana wujudnya suasana saling percaya mempercayai dan keseronokan dalam bekerja. Jadi, guru-guru akan sentiasa bersemangat dan memberikan sepenuh perhatian kepada pelajar-pelajar. Tambahan pula, dapatan kajian mendapati sekolah yang berpencapaian tinggi memang menunjukkan pengurusan sekolah yang prihatin dengan kehendak dan keperluan pelajar. Bangunan sekolah dihiasi dengan warna-warna menarik, pelbagai mural dilukis di dinding sekolah, pelbagai maklumat disediakan di papan-papan kenyataan. Tambahan pula, tandas yang bersih, bangku-bangku disediakan untuk keperluan pelajar di kawasan sekolah. Ada bilik-bilik khas untuk pembacaan, pengukuhan serta pengayaan. Justeru itu, pelajar akan berasa selesa dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan serta pelajar dapat menjalani proses pembelajaran dan pengajran dengan baik.

Sementara di sekolah yang berpencapaian rendah, masih banyak papan-papan kenyataan yang tidak dikemaskini. Banyak ruang-ruang kosong yang tidak dimanfaatkan. Mural dan tulisan-tulisan berbentuk motivasi hampir padam dan tidak jelas. Tiada bangku atau tempat rehat yang mencukupi untuk pelajar, pusat sumber yang tidak teratur dan kondusif serta bilik kaunseling yang hampir tidak berfungsi. Bagi pendapat saya, sekolah boleh mendapatkan sokongan dari pelbagai pihak untuk membangunkan kemudahan di sekolah. Pihak persatuan ibu bapa dan guru boleh cuba mendapatkan sokongan daripada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah. Seperti mana yang kita tahu, sekolah yang tidak berbudaya positif atau berbudaya toksik sebaliknya menghalang kejayaan dan kecemerlangan sekolah.


Selain itu, kepemimpinan sekolah pencapaian tinggi pandai menjaga kebajikan dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru atau dalam perkataan lain tidak meminggirkan hubungan kemanusiaan.  Walaupun di sekolah berpencapaian rendah, guru besar memberi ruang untuk mengemukakan idea, namun guru jarang bersuara. berikutan masalah komunikasi dengan guru besar. Bagi pendapat saya, guru-guru yang mempunyai masalah jangan berasa takut untuk berkongsi dengan guru besar. Cuba untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat dengan berbincang terlebih dahulu tanpa bersangka buruk terhadap majikan. Di samping itu, kepemimpinan sekolah seharusnya terbuka dan memberi ruang kepada guru untuk melibatkan diri membuat keputusan bersama. Jika tidak, mereka akan berasa tertekan dan tidak berasa seronok untuk bekerja. Jadi, ada guru yang mengabaikan pelajar mereka dan mengakibatkan pelajar tidak dapat menjalani proses pembelajaran dan pengajaran dengan baik.

Thursday, 16 March 2017

ARTIKEL 2 : KECILKAN JURANG DENGAN PENDIDIKAN

Pengerusi Majlis Profesor Negara Chapter Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar menyatakan bahawa untuk merapatkan jurang pendidikan, tumpuan perlu diberikan dalam menangani ketidaksamarataan prasarana di antara bandar dengan luar bandar, misalnya dalam penyediaan teknologi digital. Dalam masa yang sama juga, mereka yang berkeperluan khas juga tidak harus diabaikan agar mereka tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan negara. Beliau juga menegaskan bahawa pembentukan sekolah satu aliran dalam sistem pendidikan negara amat penting bagi menghapuskan semua jurang yang ada pada masa ini sebagai jawapan ke arah mewujudkan asimilasi kaum.


PENDAPAT:

Saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa mereka yang berkeperluan khas juga tidak harus diabaikan khususnya dalam subjek Matematik seperti kajian yang dijalankan oleh Khairul Anuar & Norazrena tentang penggunaan perisian Matematik bagi tajuk pecahan untuk pelajar berkeperluan khas. Penggunaan teknologi dalam pendidikan dipercayai mampu menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan Matematik serta mampu mengubah persepsi pelajar terhadap Matematik yang dianggap sukar dan membosankan. Kesukaran ini lebih dirasai oleh pelajar berkeperluan khas yang mempunyai kekurangan dengan pelajar normal. Justeru, kajian ini merupakan salah satu alternatif dalam usaha untuk mengecilkan jurang perbezaan pencapaian antara pelajar normal dan pelajar berkeperluan khas.

ARTIKEL 3 : MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN LUAR BANDAR

Melalui kajian tentang memperkasakan pendidikan luar bandar yang menggunakan kaedah pemerhatian dan pembacaan mendapati bahawa pendidikan luar bandar berada pada tahap yang rendah kerana beberapa faktor, iaitu tiada kesedaran ibu bapa, kemiskinan keluarga, sikap pelajar, kekurangan bahan bantu mengajar, kemudahan infrastruktur dan jurang pendapatan penduduk yang ketara.  Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak berwajib bagi memperkasakan pendidikan luar bandar. Namun begitu, langkah ini semua menjadi sia-sia sekiranya pelajar itu sendiri tiada motivasi untuk belajar. Kebanyakan pelajar luar bandar tidak mempunyai minat untuk belajar kerana bagi mereka sekolah merupakan tempat yang menghalang kebebasan bergerak mereka. Dalam hal ini, kesedaran tentang pentingnya pendidikan perlu wujud dalam kalangan pelajar luar bandar agar tidak berlaku keciciran dalam pendidikan (Zalika Adam et.al).


PENDAPAT:

Pada pendapat saya, dalam hal ini motivasi pelajar itu sendiri perlu dipupuk dalam meningkat minat mereka terhadap pendidikan khususnya bagi subjek Matematik. Kebanyakkan pelajar berpendapat bahawa subjek Matematik merupakan subjek yang sukar seterusnya menjadikan mereka hilang minat untuk mempelajarinya. Guru dan sekolah perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan mengadakan kem motivasi untuk para pelajar bagi menaikkan semangat mereka untuk belajar. Pendedahan mengenai perkembangan pendidikan semasa serta peluang pekerjaan masa kini juga perlu dilakukan oleh pihak sekolah kepada para pelajar.

ARTIKEL 4: JURANG AKADEMIK LELAKI DAN PEREMPUAN

Menurut Datuk Dr. Zalizan iaitu Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), perbezaan pencapaian antara jantina mula diberi perhatian pada 1970-an apabila pencapaian rendah pelajar perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1900-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan. Trend ini berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh serta masih relevan untuk dikaji. Tambahnya lagi, bagi Sijil Pelajaran Malaysia, pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menutup peluang pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke IPTA, dan fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

PENDAPAT:

Pencapaian pelajar perempuan lebih baik berbanding pelajar lelaki adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Terdapat beberapa perkara yang saya ingin bincangkan dalam isu ini dari segi pencapaian matematik pelajar. Setiap individu mempunyai gaya belajar yang berbeza, oleh itu guru perlulah mempertingkatkan kemahiran mereka dalam menguatkan lagi asas matematik setiap pelajar. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi salah satu faktor terjadinya jurang antara pelajar lelaki dan perempuan. Pelajar perempuan biasanya akan berkawan dengan rakan-rakan yang berada di sekeliling mereka seperti rakan sekelas. Sikap pelajar perempuan yang mementingkan pelajaran, akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain untuk sama-sama mementingkan pelajaran. Berbanding pelajar lelaki, mereka lebih gemar berkawan dengan rakan yang lebih tua.


ARTIKEL 5: JURANG DIGITAL DAN PENDIDIKAN DI LUAR BANDAR: TAHAP LITERASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI PELAJAR

Jurnal ini membincangkan mengenai sejauh mana kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) membantu merapat jurang digital di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar. Pelbagai inisiatif diambil bagi merapat jurang digital di Malaysia, tetapi usaha perlu dipertingkatkan lagi terutamanya bagi meningkatkan status ekonomi dan pendidikan di kawasan luar bandar. Jurang digital merujuk kepada ketaksamaan peluang mengakses Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) di antara kawasan bandar dan luar bandar (Mohamed, H., et al).

PENDAPAT:

Pada pendapat saya, jurang digital dari segi matapelajaran matematik amatlah besar antara sekolah bandar dan luar bandar. Ianya berkait rapat dengan peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan pihak sekolah, seharusnya sesebuah sekolah perlu lebih peka dalam penyaluran peruntukan yang telah disediakan supaya peruntukan dapat disalurkan ke saluran yang betul. Terdapat banyak perisian yang dapat diaplikasikan di sekolah contohnya Geogebra, Geometer Sketch Pad dan Matlab. Dengan adanya perisian-perisian ini di sekolah dapat membantu pelajar dalam menyelesaikan permasalahan matematik tidak kira sekolah bandar ataupun sekolah luar bandar.

LINK: Jurang Digital

Thursday, 2 March 2017

ISU 1: KES BULI


Masalah buli: Apa yang boleh dilakukan?
KEJADIAN buli di sekolah merupakan masalah disiplin yang sukar dibanteras, dan ia mungkin membawa kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Kajian yang dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia menunjukkan ego, cepat marah, balas dendam, rasa seronok serta elemen perkauman antara punca di sebalik kejadian buli. Setiap hari terdapat pelajar yang takut untuk ke sekolah kerana kuathir akan dibuli, satu kesan negatif dalam kehidupan pelajar. Di Malaysia, beberapa siri kejadian buli di sekolah-sekolah menunjukkan masalah ini perlu diberi perhatian serius.

Contohnya, kes pelajar sekolah di Kuala Lipis, Pahang, yang mengalami kecederaan teruk tulang belakang selepas di sepak terajang oleh sekumpulan pelajar tingkatan 3 dan 5 menggunakan kasut kadet polis dalam satu lagi kes di Batu Pahat seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan organ dalaman selepas dipukul sekumpulan pelajar senior; kemudian berlaku pula kejadian seorang pelajar dipukul mati di asrama, dan dalam kejadian terbaru seorang pelajar dipaksa melutut di hadapan seorang lagi pelajar kerana dituduh menjatuhkan kalkulatornya. Terbaharu kes seorang pelajar yang mendakwa pembuli memaksanya memotong hujung lidahnya menggunakan gunting.

Mangsa-mangsa buli takut untuk ke sekolah kerana mereka menjadi sasaran buli. Rasa takut ini membawa perubahan dalam tingkah laku mereka; ponteng sekolah, kemurungan dan pelbagai tingkahlaku yang membawa kepada kegagalan mereka di sekolah. (Sumber Sinar Harian, 8 April 2016).

Terdapat banyak sebab  kenapa mereka suka membuli. Antaranya adalah:

Faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar. Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka. Mereka pernah menjadi mangsa buli. Gangguan personaliti seperti antisosial golongan yang tidak pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan. Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.

    Faktor terakhir yang mungkin memainkan peranan yang penting ialah media massa dan cetak yang memaparkan aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi 'role model' bagi golongan remaja.

KESAN LUARAN
Mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya untuk mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli. Mereka akan mengalami kecederaan dan mungkin juga kematian.

KESAN DALAMAN
Hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, tidak mahu ke sekolah, dan sebagainya. Sehinggakan ada yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri mereka tidak berguna.

CARA MENANGANI KES BULI
Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.


Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

ISU 2: RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP)

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan sistem pendidikan untuk menyediakan generasi muda secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Hal ini kerana, pendidikan juga menjadi asas pembinaan negara bangsa, pengukuhan perpaduan serta penerapan nilai dalam diri pelajar.

Namun begitu, kita sering dikejutkan dengan berita yang kurang menyenangkan tentang nilai dalam kalangan pelajar sebagai contoh kes dadah, buli dan perkauman. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahan, Koperasi, NGO, dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata ketika menjawab soalan bertulis dari Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) mengenai data pelajar terlibat dadah di Perak dalam Sidang DUN negeri ke-13 pada 21 November 2016, “Berdasarkan rekod terbaharu 10 bulan pertama ini daripada 3,499 pelajar yang melalui saringan ujian air kencing, 173 (4.94 peratus) daripadanya di dapati positif. Ini menunjukkan
kes pelajar terlibat dadah amat membimbangkan”. Selain itu, ada sesetengah pelajar menunjukkan akhlak yang tidak baik sebagai contoh Polis telah menahan 13 remaja terlibat kes rogol pelajar tingkatan 2 yang telah disiarkan didalam akhbar tempatan baru-baru ini. Berikutan laporan itu, polis menahan 11 pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 16 tahun dari 3 sekolah dan 2 lagi suspek berusia 21 tahun.

Kita memerlukan pelajar yang mempunyai kemahiran kepimpinan dan nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil dan penyayang bagi melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa hadapan. Oleh itu, menerusi interaksi, individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan kaum dapat belajar untuk memahami, menerima dan menghargai perbezaan, seterusnya membina perkongsian pengalaman dan aspirasi untuk masa depan Malaysia. Tambahan pula, murid hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, termasuklah kemusnahan alam sekitar dan konflik senjata.

Salah satu program yang dapat dijalankan untuk menerapkan nilai dalam kalangan pelajar sekolah ialah dengan mengadakan program RIMUP. RIMUP bermaksud Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. RIMUP mula diperkenalkan pada tahun 1986 di peringkat sekolah rendah di beberapa buah negeri sahaja.

RIMUP menggariskan empat objektif utama, iaitu:

       Menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, para guru dan murid serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.

    Mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah secara sedar dan terancang.

     Melahirkan persefahaman dan tolenrasi antara murid pelbagai kaum di sekolah.

  Berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.


Diharapkan melalui menerapan program RIMUP ini, negara akan dapat membangunkan modal insan dalam kalangan generasi muda yang berupaya membudayakan perpaduan serta dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara.

ISU 3: PENGETAHUAN PEDAGOGI ISI KANDUNGAN DALAM MATEMATIK (PPIK)

Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan (PPIK) ialah satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pedagogi dengan isi kandungan sesuatu disiplin atau apa yang perlu diajar. Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi kandungan (Shulman, 1987). PPIK memainkan peranan yang penting ini kerana ia menyepadukan isi kandungan dan pedagogi untuk pembentukan kefahaman tentang bagaimana topik, masalah dan isu pengajaran diorganisasikan, diwakili dan diadaptasikan berdasarkan pelbagai minat dan kebolehan pelajar. Dalam latihan guru matematik, pengetahuan ini merangkumi pedagogi, matematik dan psikologi pelajar.




PPIK telah digunakan untuk menilai atau menentukan pengetahuan asas guru yang membezakan  guru daripada seorang pakar bidang pengetahuan yang tidak mengajar. Menurut Shulman, seorang guru mempunyai kebolehan untuk mengubah pengetahuan isi kandungan yang dimilikinya kepada suatu bentuk yang lebih sesuai untuk pengajaran serta sesuai dengan latar belakang dan kebolehan pelajarnya. Ini menunjukkan bahawa PPIK bukan sahaja bergantung kepada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi sahaja tetapi juga bergantung kepada pengetahuan guru berkenaan latar belakang pelajarnya. Dalam ertikata lain, dua elemen penting dalam PPIK ialah pengetahuan tentang cara bagaimana isi pelajaran boleh disampaikan kepada pelajar dengan berkesan dan memahami masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar khususnya dalam isi pelajaran tersebut. 

Salah satu kajian isu PPIK menurut (Skemp, 1976), seseorang pelajar memiliki dua jenis kefahaman dalam matematik iaitu kefahaman yang berbentuk instrumen (instrumental) dan kefahaman berbentuk perkaitan (relational). Kefahaman instrumental ialah pengetahuan bagaimana mencari hasil daripada pembelajaran tanpa mengetahui ‘kenapa’ sesuatu langkah, cara, operasi, rumus atau seumpamanya digunakan dalam proses pengiraan atau penyelesaian masalah. Manakala kefahaman relational ialah pengetahuan bagaimana dan mengapa mencari hasil daripada pembelajaran melalui cara atau kaedah tertentu untuk erta mengetahui kenapa cara atau kaedah yang digunakan itu boleh menyelesaikan masalah.

Selain itu, menurut Tengku Zawawi & et al (2009) yang mengkaji tentang PPIK guru matematik bagi tajuk pecahan mendapati bahawa kebanyakan guru Matematik yang baru menyampaikan konsep asas dan operasi pecahan berdasarkan kepada kefahaman instrumental. Langkah penyampaian dilakukan secara prosedural dan berpusatkan guru dengan menggunakan simbol dan istilah yang abstrak. Manakala bagi guru Matematik berpengalaman, sebahagian daripada mereka memiliki kefahaman relasional dengan langkah pengajaran berdasarkan pendekatan konseptual. Walaupun begitu, masih terdapat dalam kalangan guru Matematik berpengalaman yang memiliki kefahaman instrumental dan mengemukakan langkah penyampaian secara prosedural dengan menggunakan simbol dan istilah yang abstrak.

Oleh itu, perubahan perlulah dilakukan bagi memastikan kejayaan murid pada masa akan datang. Antara perubahan yang boleh dilakukan adalah dengan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar. Kaedah ini akan dapat menarik minat pelajar untuk lebih fokus di dalam bilik darjah. Guru-guru juga dicadangkan untuk menggunakan pendekatan ikuiri dalam pengajaran. Pendekatan inkuiri ialah proses pengajaran dan pembelajaran yang berorientasikan menyoal dan mengkaji masalah, membuat ramalan, mengumpul maklumat, menganalisis dan membuat rumusan. Pendekatan ini bertujuan untuk mendapatkan jawapan atau kesimpulan yang berorientasikan masalah. Dengan ini, daya refleksi dalam kalangan pelajar dapat dipertingkatkan.

ISU 4 : PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) selari dengan transformasi Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). PBS bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan kepada aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI).

Tumpuan utama proses transformasi pendidikan di Malaysia adalah bagi membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Modal insan yang ingin dilahirkan juga berupaya untuk berfikir secara kreatif dan kritis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan cabaran dunia global.


Kelebihan Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) dari perspektif guru


  • Kesan daripada perlaksanaan  PBS  ini, guru  diberi kuasa  autoriti  dalam memperkembangkan kreativiti pengajaran mereka (Maxwell, 2006) . Guru menyampaikan pengajaran yang pelbagai dan melaksanakan pentaksiran bergantung kepada keupayaan klien iaitu murid-murid di dalam kelas masing-masing.
  • Hubungan antara murid dengan guru juga akan semakin rapat kerana mereka akan ada sifat ingin tahu  dan  berani  memberi  pendapat  dalam  menyelesaikan    permasalahan  bukan  rutin  yang diajukan oleh guru ataupun rakan sebaya mereka.
  • Secara tidak langsung guru dapat menyampaikan  kurikulum  tersembunyi  iaitu membina  nilai-nilai  ke  arah  pembentukan  insan yang  seimbang.  Pengaplikasian  pengajaran  seperti  ini  penting  bagi  membantu  murid-murid selesa dalam menerima perubahan bentuk pembelajaran alaf baru. Sekaligus membantu mereka untuk menghadapi peperiksaan umum yang lebih berbentuk soalan KBAT.
  • Perlaksanaan PBS ini juga memberi suasana cara kerja yang baru kepada pelaksana di sekolah. Lebih banyak kerja bersepadu iaitu budaya kerja berpasukan yang diterapkan di sekolah.



Kelemahan Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) dari perspektif guru

  • Guru-guru PBS terpaksa menggunakan masa yang banyak untuk merangka penilaian (penyediaan instrumen), ulang mengajar, pengisian data dan penyimpanan eviden yang banyak. Dalam menyediakan instrumen guru perlu merangka penilaian agar setiap band, evidens dan keupayaaan murid mempunyai kesejajaran, jadi guru-guru perlu memperuntukkan masa yang mencukupi.
  • Guru juga terpaksa mengulang pengajaran sekiranya murid itu tidak mencapai Band yang ditetapkan, guru juga perlu merangka dan membina instrumen baru sehingga murid itu mencapai
  • Guru-guru juga bertanggungjawab memasukkan data ke dalam sistem, tetapi mereka menghadapi cabaran dengan server yang perlahan dan terpaksa menunggu masa yang sesuai.




ISU 5: PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM MATA PELAJARAN MATEMATIK



Teknologi pesat membangun di dalam telekomunikasi dan keusahawanan dapat di lihat dengan jelas membantu masyarakat menyelesaikan kerja-kerja seharian. Tidak ketinggalan juga di dalam bidang pendidikan, terdapat banyak alat bantuan mengajar yang dapat digunakan bagi membantu pendidik memantapkan lagi pengajaran mereka. Dengan melihat dari sudut yang positif, teknologi lebih banyak digunakan pelajar daripada pendidik. Oleh itu, pendidik yang menggunakan teknologi dapat berinteraksi dengan lebih baik dengan para pelajar. Pendidik juga akan dapat mempengaruhi pelajar untuk menggunakan teknologi kearah yang lebih baik, seterusnya memupuk minat pelajar untuk belajar.
         
Cara pengajaran dapat ditambahbaikkan dengan penggunaan teknologi di dalam pengajaran. Ini kerana, teknologi memberikan pendidik peluang untuk menggunakan cara pengajaran yang terdahulu tetapi ditambahbaikkan dengan penggunaan teknologi. Ianya adalah lebih baik daripada memperkenalkan pelajar dengan teknologi yang baru. Ini kerana, pelajar dapat mempelajari sesuatu dengan lebih cepat kerana sudah terbiasa dengan cara pembelajaran tersebut. Dengan penambahan teknologi, cara pengajaran tersebut menjadi lebih cepat dan menyeronokkan.
         
Di dalam pembelajaran Matematik, pelajar menghabiskan separuh daripada pembelajaran di dalam bilik darjah untuk pengiraan. Masa yang diperlukan untuk pembelajaran Matematik di dalam bilik darjah adalah amat terhad. Dengan adanya penggunaan teknologi di dalam bilik darjah menjadikan proses pembelajaran lebih cepat dan efisien. Selain itu, pelajar juga menjadi lebih fokus di dalam bilik darjah. Teknologi dapat membantu pelajar menyelesaikan permasalahan Matematik dengan lebih cepat dan betul. Contoh teknologi yang digunakan di dalam bilik darjah adalah penggunaan kalkulator, perisian komputer dan sebagainya.

Integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik adalah suatu isu yang penting  dalam pendidikan Matematik dan kebanyakan isu masih lagi dipertikaikan. Teknologi dalam pendidikan bermaksud aplikasi pendidikan dengan menggunakan komputer dan alat bantuan mengajar yang menggunakan teknologi contohnya kalkulator, projektor, perisian dan internet tidak kira di dalam atau di luar bilik darjah. Walaupun teknologi di dalam pendidikan Matematik sudah lama diperkenalkan, akan tetapi penggunaannya amatlah tidak memberansangkan. Ini kerana kurangnya kesedaran tentang pentingnya teknologi dalam kalangan pendidik dan juga pelajar. (Maria, 2004)



Teknologi adalah alat yang dapat digunakan oleh pendidik untuk membantu pelajar dalam pengajaran matematik. Pelajar pada masa kini lebih tertarik dengan adanya penggunaan teknologi kerana mereka adalah generasi yang membesar di dalam persekitaran yang menggunakan teknologi. Dengan adanya teknologi, pendidik akan mencapai objektif pengajaran dengan lebih mudah. Penggunaan teknologi dalam matematik juga dapat menarik minat pelajar untuk menyukai subjek ini dan seterusnya memotivasikan mereka supaya untuk terus belajar.

Walaupun terdapat banyak manfaat dalam penggunaan teknologi  dalam pendidikan Matematik, terdapat juga halangan dan kekangan yang perlu ditangani bagi menggunakan teknologi dalam pendidikan Matematik. Halangan terbesar di dalam menjayakan teknologi dalam pendidikan Matematik adalah pembiayaan dan pengaksesan. Pendidik dan pelajar memerlukan alat bantuan mengajar untuk menggunakan teknologi seperti komputer riba, internet, perisian, dan lain-lain. Alat-alat elektronik memerlukan modal yang besar bagi memastikan setiap pelajar dapat menggunakannya. Para pendidik juga perlu menguasai kemahiran terlebih dahulu sebelum meggunakan teknologi di dalam bilik darjah. Ini juga memerlukan peruntukan daripada sekolah untuk menghantar para pendidik ke kelas-kelas khas. Masa dan tenaga pendidik perlu dikorbankan bagi melaksanakan penggunaan teknologi di dalam bilik darjah dengan berkesan.



Mengintergrasikan teknologi di dalam Matematik menjadi suatu isu di dalam pendidikan. Ini kerana, ramai pendidik bimbang akan kemahiran pelajar dalam asas pengiraan akan semakin merosot. Sebagai contoh penggunaan kakulator sepatutnya hanya dijadikan alat bantuan untuk pelajar menyelesaikan permasalahan Matematik. Tetapi kini pelajar menggunakan kalkulator sebagai alat kebergantungan dan ini akan melemahkan pelajar untuk menguasai asas Matematik.

Tidak dapat disangkal terdapat banyak cabaran untuk melaksanakan teknologi di dalam pendidikan, malah sistem pembelajaran yang sedia ada sekalipun terdapat banyak halangannya. Namun, menjadi lumrah sesuatu yang baru dipelajari terdapat liku-liku yang terpaksa dihadapi. Bagi menghadapi rintangan ini kita haruslah mengorbankan sedikit masa untuk mempelajarinya. Dengan ini, kita dapat menghadapinya dengan tenang dan merealisaikan apa yang dikehendaki. (Eric, 2009)

ISU 6: KEPENTINGAN KOMUNIKASI DI DALAM KELAS MATEMATIK

Dalam dunia pendidikan pada hari ini, proses komunikasi antara guru dengan pelajar merupakan salah satu aspek yang kritikal dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru Matematik mestilah berupaya untuk berkomunikasi dengan pelajar secara jelas dan tepat. Apabila berkomunikasi, guru akan membiasakan diri mereka kepada pengajaran yang mengintegrasikan penggunaan kosa kata matematik (mathematic vocabulary) dengan elemen logik dalam matematik. Penggunaan komunikasi matematik merupakan satu isu hangat diperbincangkan dalam kalangan ahli akademik.

Pada masa kini kesedaran tentang kepentingan pembelajaran dan pengajaran matematik di negara kita adalah sangat tidak menggalakkan. Perkara ini dilihat pada kebanyakan guru matematik tidak melibatkan kesemua pelajarnya secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Perkara ini amat membimbangkan negara dalam usaha menuju era Wawasan 2020. Tanpa komunikasi yang berkesan dan efektif antara guru dan pelajar akan menyebabkan pelajar - pelajar tidak dapat menyelesaikan masalah matematik yang berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka selepas mereka meninggalkan persekolahan sekiranya ilmu matematik mereka tidak mantap dan kukuh. Menyedari hakikat ini, guru perlu menggunakan pendekatan yang terbaik untuk menarik minat pelajar untuk belajar matematik dan proses komunikasi yang terbaik perlu diterapkan di dalam kelas.



Peranan Komunikasi Dalam Pendidikan Matematik

Melalui proses komunikasi, idea matematik menjadi suatu objek yang boleh diuji kerelevanannya dalam aplikasi, diperbincangkan dan dibuat perubahan supaya idea tersebut boleh diterima menurut kelogikan dan sebab musababnya. Apabila pelajar diminta untuk memikirkan penyelesaian kepada suatu masalah matematik, mereka akan menyampaikan hasil pemikiran dan jawapan mereka kepada kelas secara lisan atau secara bertulis. Melalui proses ini, mereka sebenarnya belajar untuk menyampaikan pemikiran dan idea mereka kepada guru dan rakan sekelas yang lain melalui komunikasi.


          Apabila rakan pelajar yang lain mendengar penerangan rakan mereka, ia memberi peluang kepada para pelajar untuk menilai secara kritikal idea yang diketengahkan. Dalam membincangkan idea dan konsep matematik, interaksi antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar di dalam kelas dapat memainkan peranan dalam meningkatkan pemahaman pelajar. Melibatkan dan menggalakkan pelajar untuk sentiasa bertanya apabila menghadapi masalah dalam matematik akan memberikan peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman yang dilalui oleh ahli matematik yang terdahulu, iaitu suatu proses yang fundamental dalam pembentukan idea matematik.