Thursday, 2 March 2017

ISU 6: KEPENTINGAN KOMUNIKASI DI DALAM KELAS MATEMATIK

Dalam dunia pendidikan pada hari ini, proses komunikasi antara guru dengan pelajar merupakan salah satu aspek yang kritikal dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru Matematik mestilah berupaya untuk berkomunikasi dengan pelajar secara jelas dan tepat. Apabila berkomunikasi, guru akan membiasakan diri mereka kepada pengajaran yang mengintegrasikan penggunaan kosa kata matematik (mathematic vocabulary) dengan elemen logik dalam matematik. Penggunaan komunikasi matematik merupakan satu isu hangat diperbincangkan dalam kalangan ahli akademik.

Pada masa kini kesedaran tentang kepentingan pembelajaran dan pengajaran matematik di negara kita adalah sangat tidak menggalakkan. Perkara ini dilihat pada kebanyakan guru matematik tidak melibatkan kesemua pelajarnya secara aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Perkara ini amat membimbangkan negara dalam usaha menuju era Wawasan 2020. Tanpa komunikasi yang berkesan dan efektif antara guru dan pelajar akan menyebabkan pelajar - pelajar tidak dapat menyelesaikan masalah matematik yang berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka selepas mereka meninggalkan persekolahan sekiranya ilmu matematik mereka tidak mantap dan kukuh. Menyedari hakikat ini, guru perlu menggunakan pendekatan yang terbaik untuk menarik minat pelajar untuk belajar matematik dan proses komunikasi yang terbaik perlu diterapkan di dalam kelas.



Peranan Komunikasi Dalam Pendidikan Matematik

Melalui proses komunikasi, idea matematik menjadi suatu objek yang boleh diuji kerelevanannya dalam aplikasi, diperbincangkan dan dibuat perubahan supaya idea tersebut boleh diterima menurut kelogikan dan sebab musababnya. Apabila pelajar diminta untuk memikirkan penyelesaian kepada suatu masalah matematik, mereka akan menyampaikan hasil pemikiran dan jawapan mereka kepada kelas secara lisan atau secara bertulis. Melalui proses ini, mereka sebenarnya belajar untuk menyampaikan pemikiran dan idea mereka kepada guru dan rakan sekelas yang lain melalui komunikasi.


          Apabila rakan pelajar yang lain mendengar penerangan rakan mereka, ia memberi peluang kepada para pelajar untuk menilai secara kritikal idea yang diketengahkan. Dalam membincangkan idea dan konsep matematik, interaksi antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar di dalam kelas dapat memainkan peranan dalam meningkatkan pemahaman pelajar. Melibatkan dan menggalakkan pelajar untuk sentiasa bertanya apabila menghadapi masalah dalam matematik akan memberikan peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman yang dilalui oleh ahli matematik yang terdahulu, iaitu suatu proses yang fundamental dalam pembentukan idea matematik.

No comments:

Post a Comment