Thursday, 2 March 2017

ISU 8: TIMSS & PISA

TIMSS bermaksud Trends In International Mathematics and Science Study. TIMSS merupakan laporan yang membandingkan prestasi pencapaian matematik dan sains para pelajar sesebuah negara di peringkat dunia dan perbandingan ini dijalankan setiap empat tahun iaitu bermula pada tahun 1995, 1999, 2003, 2007, 2011, 2015 dan seterusnya. Penyertaan Malaysia dalam TIMSS bermula sejak pusingan kedua, iaitu TIMSS 1999 dengan sampel murid Tingkatan 2 dari semua jenis sekolah di Malaysia. TIMSS diadakan bagi mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek Matematik dan Sains sahaja.

Mengikut penilaian TIMSS 2015, Malaysia mencatatkan skor matematik 465 mata dan sains 471 mata. Daripada 16 negara peserta yang telah mencatatkan peningkatan skor dalam Sains pada TIMSS 2015, Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 44 mata berbanding TIMSS 2011. Bagi subjek matematik pula, Malaysia merupakan antara 18 negara yang menunjukkan peningkatan pencapaian iaitu 25 mata berbanding TIMSS 2011. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, pencapaian yang bertambah baik meletakkan kedudukan Malaysia pada kedudukan pertengahan dalam senarai kesemua 39 negara peserta. Bagi subjek sains, Malaysia berada pada tempat ke-24, manakala bagi subjek matematik pula, Malaysia berada pada tempat ke-22.


*sumber : berita harian online


TIMSS diuji menggunakan beberapa instrumen iaitu buku ujian, soal selidik murid, soal selidik guru dan soal selidik sekolah. Setelah diuji, TIMSS dinilai berdasarkan 4 kategori Low, Intermediate, High dan Advance. Untuk kelas yang terendah pelajar hanya mempunyai asas sedikit tentang asas pengetahuan matematik. Bagi kelas sederhana pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan yang mereka belajar dan bagi kategori tinggi pelajar dapat mengaplikasikan kefahaman dan pengetahuan dalam pelbagai situasi yang lebih kompleks. Bagi benchmark yang tertinggi pelajar sudah boleh mengorganisasikan dan membuat kesimpulan serta menyelesaikan soalan bukan rutin.


*video untuk membantu pemahaman anda tentang PISA


Ujian PISA adalah merupakan akronim kepada Programme International Student Assessment yang diperkenalkan oleh OECD (Organisation For Economic Co-operation and Development). Ujian ini diadakan 3 tahun sekali bermula pada tahun 2000, dan negara kita Malaysia mula menyertainya pada tahun 2009. Ujian ini adalah bagi menguji remaja berusia 15 tahun dalam domain literasi matematik, literasi saintifik dan juga literasi bacaan untuk menilai pengetahuan dan kemahiran remaja untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya. Sebanyak 72 buah negara terlibat pada Ujian PISA 2015 yang diadakan pada April hingga Mei 2015.

Instrumen kajian PISA terdiri daripada empat perkara iaitu ujian bertulis, soal selidik murid, ujian berkomputer dan juga soal selidik pengetua. Bagi ujian bertulis, masa diperuntukkan kepada pelajar adalah selama 2 jam untuk menjawab soalan yang terdiri daripada item-item aneka pilihan dan juga soalan terbuka. Item-item tersebut disusun dalam kumpulan berdasarkan teks yang menggambarkan situasi dalam kehidupan sebenar. Ujian berkomputer pula merangkumi sebanyak 18 hingga 20 soalan berbentuk penyelesaian masalah. Murid akan menggunakan komputer untuk membuat simulasi sebelum menjawab soalan PISA.  Soal selidik murid dilakukan untuk mengkaji latar belakang murid, persepsi dan juga sikap murid terhadap subjek Sains, Matematik dan juga kemahiran membaca. Selain itu, soal selidik ini juga menilai tahap motivasi dan amalan strategi pembelajaran murid. Soal selidik pengetua pula bertujuan mengumpul maklumat berkenaan sekolah.Maklumat soal selidik membantu negara untuk melihat perkaitan antara keputusan PISA dengan faktor yang mempengaruhinya seperti jantina, perpindahan sekolah, latar belakang sosioekonomi, sikap pelajar tentang sekolah dan pendekatan pembelajaran yang digunakan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin, Malaysia mencatatkan peningkatan skor dalam ketiga-tiga domain PISA iaitu literasi saintifik, literasi bacaan dan literasi matematik. Bagi literasi saintifik, Malaysia mencatatkan skor sebanyak 443 mata, iaitu meningkat sebanyak 23 mata berbanding PISA 2012. Literasi bacaan pula, skor yang dicapai adalah sebanyak 431 mata iaitu meningkat 33 mata manakala bagi literasi matematik, skor yang dicapai adalah 446 mata iaitu meningkat 25 mata.

Diharap artikel mengenai TIMSS dan PISA ini dapat membantu anda dalam mengetahui sedikit sebanyak mengenai TIMSS dan PISA dan kaitannya dalam sistem pendidikan kita.

No comments:

Post a Comment