Thursday, 2 March 2017

ISU 2: RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP)

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan sistem pendidikan untuk menyediakan generasi muda secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Hal ini kerana, pendidikan juga menjadi asas pembinaan negara bangsa, pengukuhan perpaduan serta penerapan nilai dalam diri pelajar.

Namun begitu, kita sering dikejutkan dengan berita yang kurang menyenangkan tentang nilai dalam kalangan pelajar sebagai contoh kes dadah, buli dan perkauman. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahan, Koperasi, NGO, dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata ketika menjawab soalan bertulis dari Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) mengenai data pelajar terlibat dadah di Perak dalam Sidang DUN negeri ke-13 pada 21 November 2016, “Berdasarkan rekod terbaharu 10 bulan pertama ini daripada 3,499 pelajar yang melalui saringan ujian air kencing, 173 (4.94 peratus) daripadanya di dapati positif. Ini menunjukkan
kes pelajar terlibat dadah amat membimbangkan”. Selain itu, ada sesetengah pelajar menunjukkan akhlak yang tidak baik sebagai contoh Polis telah menahan 13 remaja terlibat kes rogol pelajar tingkatan 2 yang telah disiarkan didalam akhbar tempatan baru-baru ini. Berikutan laporan itu, polis menahan 11 pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 16 tahun dari 3 sekolah dan 2 lagi suspek berusia 21 tahun.

Kita memerlukan pelajar yang mempunyai kemahiran kepimpinan dan nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil dan penyayang bagi melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa hadapan. Oleh itu, menerusi interaksi, individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan kaum dapat belajar untuk memahami, menerima dan menghargai perbezaan, seterusnya membina perkongsian pengalaman dan aspirasi untuk masa depan Malaysia. Tambahan pula, murid hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, termasuklah kemusnahan alam sekitar dan konflik senjata.

Salah satu program yang dapat dijalankan untuk menerapkan nilai dalam kalangan pelajar sekolah ialah dengan mengadakan program RIMUP. RIMUP bermaksud Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. RIMUP mula diperkenalkan pada tahun 1986 di peringkat sekolah rendah di beberapa buah negeri sahaja.

RIMUP menggariskan empat objektif utama, iaitu:

       Menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, para guru dan murid serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.

    Mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah secara sedar dan terancang.

     Melahirkan persefahaman dan tolenrasi antara murid pelbagai kaum di sekolah.

  Berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.


Diharapkan melalui menerapan program RIMUP ini, negara akan dapat membangunkan modal insan dalam kalangan generasi muda yang berupaya membudayakan perpaduan serta dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara.

No comments:

Post a Comment