Friday, 17 March 2017

ARTIKEL 1: BUDAYA SEKOLAH,KEPEMIMPINAN TRANSFORMASIONAL DAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR



Jurnal ini secara keseluruhannya kajian tentang budaya sekolah dan kekepemimpinan sekolah mampu menyumbang kepada pencapaian dan motivasi murid, kepuasan dan produktiviti guru. Kajian ini juga meneliti hubungan budaya sekolah dengan kepemimpinan transformasional dan pencapaian akademik pelajar sekolah rendah. Ulasan ini hanya menfokuskan tentang jurang pencapaian pelajar sekolah berprestasi tinggi dan sekolah berprestasi rendah dipengaruhi oleh budaya sekolah dan kekepemimpinan sekolah. Dapatan kajian mendapati budaya sekolah positif lebih tinggi dipraktikkan di sekolah berpencapaian tinggi berbanding di sekolah berpencapaian rendah. Situasi yang berbeza ini mungkin sekali disebabkan oleh ciri budaya positif yang menjadi amalan di sekolah. 

Di sekolah berprestasi tinggi, guru seronok dan selesa dengan budaya sekolah kerana wujudnya suasana saling percaya mempercayai dan keseronokan dalam bekerja. Jadi, guru-guru akan sentiasa bersemangat dan memberikan sepenuh perhatian kepada pelajar-pelajar. Tambahan pula, dapatan kajian mendapati sekolah yang berpencapaian tinggi memang menunjukkan pengurusan sekolah yang prihatin dengan kehendak dan keperluan pelajar. Bangunan sekolah dihiasi dengan warna-warna menarik, pelbagai mural dilukis di dinding sekolah, pelbagai maklumat disediakan di papan-papan kenyataan. Tambahan pula, tandas yang bersih, bangku-bangku disediakan untuk keperluan pelajar di kawasan sekolah. Ada bilik-bilik khas untuk pembacaan, pengukuhan serta pengayaan. Justeru itu, pelajar akan berasa selesa dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan serta pelajar dapat menjalani proses pembelajaran dan pengajran dengan baik.

Sementara di sekolah yang berpencapaian rendah, masih banyak papan-papan kenyataan yang tidak dikemaskini. Banyak ruang-ruang kosong yang tidak dimanfaatkan. Mural dan tulisan-tulisan berbentuk motivasi hampir padam dan tidak jelas. Tiada bangku atau tempat rehat yang mencukupi untuk pelajar, pusat sumber yang tidak teratur dan kondusif serta bilik kaunseling yang hampir tidak berfungsi. Bagi pendapat saya, sekolah boleh mendapatkan sokongan dari pelbagai pihak untuk membangunkan kemudahan di sekolah. Pihak persatuan ibu bapa dan guru boleh cuba mendapatkan sokongan daripada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah. Seperti mana yang kita tahu, sekolah yang tidak berbudaya positif atau berbudaya toksik sebaliknya menghalang kejayaan dan kecemerlangan sekolah.


Selain itu, kepemimpinan sekolah pencapaian tinggi pandai menjaga kebajikan dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru atau dalam perkataan lain tidak meminggirkan hubungan kemanusiaan.  Walaupun di sekolah berpencapaian rendah, guru besar memberi ruang untuk mengemukakan idea, namun guru jarang bersuara. berikutan masalah komunikasi dengan guru besar. Bagi pendapat saya, guru-guru yang mempunyai masalah jangan berasa takut untuk berkongsi dengan guru besar. Cuba untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat dengan berbincang terlebih dahulu tanpa bersangka buruk terhadap majikan. Di samping itu, kepemimpinan sekolah seharusnya terbuka dan memberi ruang kepada guru untuk melibatkan diri membuat keputusan bersama. Jika tidak, mereka akan berasa tertekan dan tidak berasa seronok untuk bekerja. Jadi, ada guru yang mengabaikan pelajar mereka dan mengakibatkan pelajar tidak dapat menjalani proses pembelajaran dan pengajaran dengan baik.

Thursday, 16 March 2017

ARTIKEL 2 : KECILKAN JURANG DENGAN PENDIDIKAN

Pengerusi Majlis Profesor Negara Chapter Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar menyatakan bahawa untuk merapatkan jurang pendidikan, tumpuan perlu diberikan dalam menangani ketidaksamarataan prasarana di antara bandar dengan luar bandar, misalnya dalam penyediaan teknologi digital. Dalam masa yang sama juga, mereka yang berkeperluan khas juga tidak harus diabaikan agar mereka tidak tercicir daripada arus perdana pembangunan negara. Beliau juga menegaskan bahawa pembentukan sekolah satu aliran dalam sistem pendidikan negara amat penting bagi menghapuskan semua jurang yang ada pada masa ini sebagai jawapan ke arah mewujudkan asimilasi kaum.


PENDAPAT:

Saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa mereka yang berkeperluan khas juga tidak harus diabaikan khususnya dalam subjek Matematik seperti kajian yang dijalankan oleh Khairul Anuar & Norazrena tentang penggunaan perisian Matematik bagi tajuk pecahan untuk pelajar berkeperluan khas. Penggunaan teknologi dalam pendidikan dipercayai mampu menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan Matematik serta mampu mengubah persepsi pelajar terhadap Matematik yang dianggap sukar dan membosankan. Kesukaran ini lebih dirasai oleh pelajar berkeperluan khas yang mempunyai kekurangan dengan pelajar normal. Justeru, kajian ini merupakan salah satu alternatif dalam usaha untuk mengecilkan jurang perbezaan pencapaian antara pelajar normal dan pelajar berkeperluan khas.

ARTIKEL 3 : MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN LUAR BANDAR

Melalui kajian tentang memperkasakan pendidikan luar bandar yang menggunakan kaedah pemerhatian dan pembacaan mendapati bahawa pendidikan luar bandar berada pada tahap yang rendah kerana beberapa faktor, iaitu tiada kesedaran ibu bapa, kemiskinan keluarga, sikap pelajar, kekurangan bahan bantu mengajar, kemudahan infrastruktur dan jurang pendapatan penduduk yang ketara.  Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak berwajib bagi memperkasakan pendidikan luar bandar. Namun begitu, langkah ini semua menjadi sia-sia sekiranya pelajar itu sendiri tiada motivasi untuk belajar. Kebanyakan pelajar luar bandar tidak mempunyai minat untuk belajar kerana bagi mereka sekolah merupakan tempat yang menghalang kebebasan bergerak mereka. Dalam hal ini, kesedaran tentang pentingnya pendidikan perlu wujud dalam kalangan pelajar luar bandar agar tidak berlaku keciciran dalam pendidikan (Zalika Adam et.al).


PENDAPAT:

Pada pendapat saya, dalam hal ini motivasi pelajar itu sendiri perlu dipupuk dalam meningkat minat mereka terhadap pendidikan khususnya bagi subjek Matematik. Kebanyakkan pelajar berpendapat bahawa subjek Matematik merupakan subjek yang sukar seterusnya menjadikan mereka hilang minat untuk mempelajarinya. Guru dan sekolah perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan mengadakan kem motivasi untuk para pelajar bagi menaikkan semangat mereka untuk belajar. Pendedahan mengenai perkembangan pendidikan semasa serta peluang pekerjaan masa kini juga perlu dilakukan oleh pihak sekolah kepada para pelajar.

ARTIKEL 4: JURANG AKADEMIK LELAKI DAN PEREMPUAN

Menurut Datuk Dr. Zalizan iaitu Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), perbezaan pencapaian antara jantina mula diberi perhatian pada 1970-an apabila pencapaian rendah pelajar perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1900-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan. Trend ini berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh serta masih relevan untuk dikaji. Tambahnya lagi, bagi Sijil Pelajaran Malaysia, pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menutup peluang pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke IPTA, dan fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

PENDAPAT:

Pencapaian pelajar perempuan lebih baik berbanding pelajar lelaki adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh dunia. Terdapat beberapa perkara yang saya ingin bincangkan dalam isu ini dari segi pencapaian matematik pelajar. Setiap individu mempunyai gaya belajar yang berbeza, oleh itu guru perlulah mempertingkatkan kemahiran mereka dalam menguatkan lagi asas matematik setiap pelajar. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga menjadi salah satu faktor terjadinya jurang antara pelajar lelaki dan perempuan. Pelajar perempuan biasanya akan berkawan dengan rakan-rakan yang berada di sekeliling mereka seperti rakan sekelas. Sikap pelajar perempuan yang mementingkan pelajaran, akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang lain untuk sama-sama mementingkan pelajaran. Berbanding pelajar lelaki, mereka lebih gemar berkawan dengan rakan yang lebih tua.


ARTIKEL 5: JURANG DIGITAL DAN PENDIDIKAN DI LUAR BANDAR: TAHAP LITERASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI PELAJAR

Jurnal ini membincangkan mengenai sejauh mana kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) membantu merapat jurang digital di sekolah-sekolah di kawasan luar bandar. Pelbagai inisiatif diambil bagi merapat jurang digital di Malaysia, tetapi usaha perlu dipertingkatkan lagi terutamanya bagi meningkatkan status ekonomi dan pendidikan di kawasan luar bandar. Jurang digital merujuk kepada ketaksamaan peluang mengakses Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) di antara kawasan bandar dan luar bandar (Mohamed, H., et al).

PENDAPAT:

Pada pendapat saya, jurang digital dari segi matapelajaran matematik amatlah besar antara sekolah bandar dan luar bandar. Ianya berkait rapat dengan peruntukan yang disediakan oleh pihak kerajaan dan pihak sekolah, seharusnya sesebuah sekolah perlu lebih peka dalam penyaluran peruntukan yang telah disediakan supaya peruntukan dapat disalurkan ke saluran yang betul. Terdapat banyak perisian yang dapat diaplikasikan di sekolah contohnya Geogebra, Geometer Sketch Pad dan Matlab. Dengan adanya perisian-perisian ini di sekolah dapat membantu pelajar dalam menyelesaikan permasalahan matematik tidak kira sekolah bandar ataupun sekolah luar bandar.

LINK: Jurang Digital

Thursday, 2 March 2017

ISU 1: KES BULI


Masalah buli: Apa yang boleh dilakukan?
KEJADIAN buli di sekolah merupakan masalah disiplin yang sukar dibanteras, dan ia mungkin membawa kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Kajian yang dijalankan di sekolah-sekolah Malaysia menunjukkan ego, cepat marah, balas dendam, rasa seronok serta elemen perkauman antara punca di sebalik kejadian buli. Setiap hari terdapat pelajar yang takut untuk ke sekolah kerana kuathir akan dibuli, satu kesan negatif dalam kehidupan pelajar. Di Malaysia, beberapa siri kejadian buli di sekolah-sekolah menunjukkan masalah ini perlu diberi perhatian serius.

Contohnya, kes pelajar sekolah di Kuala Lipis, Pahang, yang mengalami kecederaan teruk tulang belakang selepas di sepak terajang oleh sekumpulan pelajar tingkatan 3 dan 5 menggunakan kasut kadet polis dalam satu lagi kes di Batu Pahat seorang pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan organ dalaman selepas dipukul sekumpulan pelajar senior; kemudian berlaku pula kejadian seorang pelajar dipukul mati di asrama, dan dalam kejadian terbaru seorang pelajar dipaksa melutut di hadapan seorang lagi pelajar kerana dituduh menjatuhkan kalkulatornya. Terbaharu kes seorang pelajar yang mendakwa pembuli memaksanya memotong hujung lidahnya menggunakan gunting.

Mangsa-mangsa buli takut untuk ke sekolah kerana mereka menjadi sasaran buli. Rasa takut ini membawa perubahan dalam tingkah laku mereka; ponteng sekolah, kemurungan dan pelbagai tingkahlaku yang membawa kepada kegagalan mereka di sekolah. (Sumber Sinar Harian, 8 April 2016).

Terdapat banyak sebab  kenapa mereka suka membuli. Antaranya adalah:

Faktor rakan sebaya mempunyai pengaruh paling kuat untuk mengubah tingkah laku pelajar. Individu yang membuli ini mungkin ingin memperlihatkan rasa tidak puas hati mereka. Mereka pernah menjadi mangsa buli. Gangguan personaliti seperti antisosial golongan yang tidak pernah berasa bersalah apabila membuat kesilapan. Individu yang gagal mengendalikan emosi dengan baik. Golongan ini biasanya terdapat pada kanak-kanak cergas yang melampau yang sering bersikap tidak pernah mengambil peduli perasaan orang lain.

    Faktor terakhir yang mungkin memainkan peranan yang penting ialah media massa dan cetak yang memaparkan aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi 'role model' bagi golongan remaja.

KESAN LUARAN
Mereka akan membalas dendam kepada orang lain. Tujuannya untuk mengembalikan harga diri yang hilang akibat dibuli. Mereka akan mengalami kecederaan dan mungkin juga kematian.

KESAN DALAMAN
Hilang keyakinan diri, membiarkan diri diperlakukan apa sahaja, sanggup melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain, tidak mahu ke sekolah, dan sebagainya. Sehinggakan ada yang sanggup mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri mereka tidak berguna.

CARA MENANGANI KES BULI
Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.


Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

ISU 2: RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN (RIMUP)

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap keupayaan sistem pendidikan untuk menyediakan generasi muda secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21. Hal ini kerana, pendidikan juga menjadi asas pembinaan negara bangsa, pengukuhan perpaduan serta penerapan nilai dalam diri pelajar.

Namun begitu, kita sering dikejutkan dengan berita yang kurang menyenangkan tentang nilai dalam kalangan pelajar sebagai contoh kes dadah, buli dan perkauman. Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahan, Koperasi, NGO, dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata ketika menjawab soalan bertulis dari Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) mengenai data pelajar terlibat dadah di Perak dalam Sidang DUN negeri ke-13 pada 21 November 2016, “Berdasarkan rekod terbaharu 10 bulan pertama ini daripada 3,499 pelajar yang melalui saringan ujian air kencing, 173 (4.94 peratus) daripadanya di dapati positif. Ini menunjukkan
kes pelajar terlibat dadah amat membimbangkan”. Selain itu, ada sesetengah pelajar menunjukkan akhlak yang tidak baik sebagai contoh Polis telah menahan 13 remaja terlibat kes rogol pelajar tingkatan 2 yang telah disiarkan didalam akhbar tempatan baru-baru ini. Berikutan laporan itu, polis menahan 11 pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 16 tahun dari 3 sekolah dan 2 lagi suspek berusia 21 tahun.

Kita memerlukan pelajar yang mempunyai kemahiran kepimpinan dan nilai murni sejagat seperti integriti, belas kasihan, adil dan penyayang bagi melahirkan pemimpin-pemimpin pada masa hadapan. Oleh itu, menerusi interaksi, individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan kaum dapat belajar untuk memahami, menerima dan menghargai perbezaan, seterusnya membina perkongsian pengalaman dan aspirasi untuk masa depan Malaysia. Tambahan pula, murid hari ini akan mewarisi dunia yang penuh dengan cabaran hebat, termasuklah kemusnahan alam sekitar dan konflik senjata.

Salah satu program yang dapat dijalankan untuk menerapkan nilai dalam kalangan pelajar sekolah ialah dengan mengadakan program RIMUP. RIMUP bermaksud Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. RIMUP mula diperkenalkan pada tahun 1986 di peringkat sekolah rendah di beberapa buah negeri sahaja.

RIMUP menggariskan empat objektif utama, iaitu:

       Menggalakkan penyertaan masyarakat setempat, para guru dan murid serta warga sekolah dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.

    Mewujudkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah secara sedar dan terancang.

     Melahirkan persefahaman dan tolenrasi antara murid pelbagai kaum di sekolah.

  Berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk menjayakan kegiatan-kegiatan khas secara bersama-sama.


Diharapkan melalui menerapan program RIMUP ini, negara akan dapat membangunkan modal insan dalam kalangan generasi muda yang berupaya membudayakan perpaduan serta dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara.