Wednesday, 26 April 2017

PENILAIAN: ISU 1 - PENILAIAN BERORIENTASIKAN PEPERIKSAAN

Sudah menjadi kebiasaan selalunya gred permarkahan akan menjadi batu pengukur pencapaian pelajar. Ini kerana keputusan peperiksaan yang baik akan dapat membantu pelajar untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Di sekolah juga, guru-guru ditekankan supaya banyak memberi latih tubi kepada pelajar untuk membiasakan pelajar dengan pelbagai soalan yang akan dijawab dalam peperiksaan nanti. Dengan menerapkan sikap sebegini akan menyebabkan guru tidak berminat menggunakan kaedah yang lain di dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan menyebabkan guru-guru mengabaikan aspek lain seperti minat pelajar. Peperiksaan ini dianggap perkara yang sangat penting sama ada oleh guru, pelajar dan ibubapa. Media massa turut memainkan peranan dengan menghebahkan pencapaian pelajar dan sekolah. Ini menyebabkan timbulnya budaya atau fenomena guru mengajar hanya menfokuskan kepada isi kandungan dan kemahiran yang akan dinilai di dalam peperiksaan. Pelajar pula akan diajar untuk mengingati model jawapan dan pengiraan dengan menggunakan rumus sehingga guru akan memberikan latihan berterusan dan mengabaikan kaedah pengajaran.

Kesan yang tampak jelas apabila guru memfokuskan kepada peperiksaan sahaja adalah pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti. Ini kerana pelajar hanya akan belajar untuk lulus peperiksaan sahaja, mereka tidak dapat menerapkan ilmu yang diajar diluar bilik darjah. Ini akan memberi kesan kepada masa depan pelajar.


Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun seterusnya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru dapat membantu pelajar meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian sumatif dan penilaian di peringkat pusat.

PENILAIAN : ISU 2 – PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Isu mengenai PBS ini akan dikupas kepada empat bahagian, iaitu kepimpinan guru besar, peranan guru, kebolehpercayaan dan bias dalam penilaian. Guru besar atau pengetua merupakan ketua dalam pelaksanaan PBS di sekolah yang bertanggungawab untuk memastikan PBS dilaksanakan mengikut prosedur pelaksanaan PBS serta mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang pentaksiran. Walaubagaimanapun, terdapat juga segelintir guru besar atau pengetua yang kurang faham mengenai prosedur pelaksanaan. Selain itu, ada juga segelintir guru besar yang kurang mengetahui ilmu dalam bidang pentaksiran termasuklah prinsip asas dalam pentaksiran pendidikan, pengendalian, penentuan standard dan penggunaan hasil pentaksiran.

Isu mengenai PBS juga turut berkaitan dengan guru-guru akademik. Ini kerana kebanyakan guru merasakan perubahan pendidikan dalam pelaksanaan PBS telah meningkatkan beban kerja mereka. Para guru turut menyatakan bahawa mereka bukan sahaja perlu mengajar dan malah mereka juga perlu melakukan kerja-kerja pentadbiran dan kokurikulum.

Selain itu, pelaksanaan PBS juga dilihat seperti mempunyai tahap kebolehpercayaan yang rendah. Kebolehpercayaan yang rendah adalah kerana guru kepada murid-murid itu sendiri yang akan melakukan pentaksiran ke atas mereka. Teknik, kemahiran dan pengetahuan yang tinggi mengenai pentaksiran juga amat diperlukan dalam melaksanakan PBS. Oleh yang demikian, guru-guru memerlukan pendedahan dan latihan yang banyak sebelum melaksanakan PBS.

Seperti yang dibincangkan tadi, tahap kebolehpercayaan dalam pelaksanaan PBS adalah rendah. Ini kerana, terdapat bias dalam penilaian yang dapat diperhatikan dari pebagai sudut. Dari segi pemerhatian, setiap guru mempunyai pemerhatian dan pandangan yang berbeza mengenai pelajar yang sama. Guru-guru hanya menilai apa yang mereka lihat pada mata kasar mereka sahaja. Bias dari segi lisan pula adalah berkaitan dengan soalan yang dijawab beramai-ramai akan menyebabkan guru sukar menentukan tahap kefahaman individu bagi para pelajar. Skema jawapan yang tidak setara antara guru-guru juga dilihat sebagai bias dalam pentaksiran dari segi penulisan.

PENILAIAN : ISU 3 - BIAS DALAM PENILAIAN

Isu bias merupakan salah satu isu dalam penilaian. Maksud bias dalam penilaian ialah ketidakadilan yang wujud dalam sesuatu penilaian. Terdapat tiga aspek yang dapat menjelaskan kewujudan bias dalam penilaian iaitu item soalan ujian, penilaian melalui pemerhatian dan penilaian secara lisan. Bias dalam item soalan ujian ialah apabila seseorang individu yang sama tahap kebolehan, daripada kumpulan yang berbeza tidak mempunyai kebarangkalian yang sama untuk menjawab item tersebut dengan betul. Sebagai contoh bias mengikut jantina apabila item soalan yang dibina cenderung kepada satu jantina sahaja. Kebanyakan pelajar lelaki lebih mengetahui dalam bidang mekanikal,  maka jika soalan berkaitan bahagian mekanikal, pelajar lelaki lebih cenderung menjawab soalan dengan betul berbanding dengan pelajar perempuan. Oleh itu, guru haruslah mengimbangi bilangan topik dalam kertas soalan dan seimbangkan bentuk soalan.

Seterusnya ialah bias dalam penilaian melalui pemerhatian. Penilaian melalui pemerhatian adalah satu proses untuk menentukan apa yang pelajar tahu, hasil kerja, tingkah laku, komunikasi dan interaksi pelajar. Pemerhatian adalah perkara yang dinilai oleh guru melalui mata kasar. Namun begitu, persepsi guru terhadap pelajar menyebabkan bias berlaku dalam penilaian melalui pemerhatian. Mata kasar guru hanyalah pandangan luaran sahaja yang tidak dapat membuktikan atau menyatakan keadaan sebenar pelajar dan persepsi guru akan mempengaruhi cara penilaian atau pemarkahan. Penilaian yang di buat hanya dengan mata kasar menyukarkan guru untuk menilai tahap kefahaman sebenar pelajar.

Aspek yang seterusnya ialah bias dalam penilaian secara lisan. Penilaian secara lisan adalah satu proses untuk mengumpul maklumat semasa interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran. Perkara yang dapat dinilai secara lisan ialah tahap pemikiran, pengetahuan fakta, kefahaman konsep, keyakinan, kecekapan mendengar dan penggunaan bahasa yang tepat. Pelajar yang mengalami kesukaran dalam berbahasa, guru akan menganggap tidak mencapai tahap pemahaman yang baik. Namun begitu ianya berpunca daripada kelemahan pelajar dalam berbahasa dan tidak mempengaruhi pemahaman pelajar. Malah pelajar juga gagal berkomunikasi dengan baik dalam penilaian lisan kerana mereka berasa gugup dan ketakutan terhadap guru dan mengakibatkan pelajar kurang berani menyuarakan pendapat mereka. Oleh itu guru seharusnya gunakan borang penilaian yang standard dan kurangkan sifat bias dalam diri.

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL : ISU 1- GURU SEBAGAI KERJAYA TERAKHIR

Bidang perguruan sering dianggap sebagai profesion kelas pertengahan jauh ditinggalkan oleh bidang-bidang professional yang lain seperti kedoktoran, kejuruteraan mahupun bidang perakuanan. Masyarakat menganggap bidang ini adalah pilihan terakhir sekiranya tiada kerjaya profesional lain yang sesuai atau tidak mendapat kerja. Masyarakat juga menganggap individu itu boleh menjadi guru sandaran atau guru sementara tanpa ada latihan asas. Kekosongan jawatan guru sama ada di sekolah rendah mahupun menengah biasanya diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan formal sama ada di maktab perguruan ataupun universiti. Situasi ini akan membuatkan pandangan masyarakat terhadap profession ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila sesetengah pihak yang menganggap individu masih boleh menjadi guru tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat yang sepatutnya. Selain itu, masyarakat melihat kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mudah. Bagi mereka, seorang guru mempunyai cuti yang banyak sebagaimana pelajar sekolah dan masa kerja yang pendek. Walhal, beban kerja guru terlalu banyak sehingga membawa ke rumah.

Antara kesan yang dapat dilihat dalam isu ini adalah:
         • guru mengalami situasi ‘burnt-out’
         • pelajar kurang motivasi
         • prestasi akademik merosot
         • ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat tuisyen

Bagi mengelakkan isu kerjaya guru sebagai pilihan terakhir, setiap individu sepatutnya tahu arah tuju kerjaya mereka. Selain itu, mereka juga harus tahu spesifikasi dan bidang tugas yang mereka minati supaya tidak menyesal di kemudian hari. Sebagai individu yang terpelajar, guru yang memilih kerjaya ini sebagai pilihan terakhir ini juga mereka perlu mempunyai rasa tanggungjawab. Mereka perlu menyedari bahawa guru insan yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan pelajar. Persepsi masyarakat juga perlu diubah. Mereka membayangkan guru hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar. Realitinya, beban kerja guru-guru sangat banyak hingga di bawa ke rumah. 

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL: ISU 2-DISIPLIN GURU

Kebiasaannya isu yang sering didengar adalah isu disiplin pelajar, tetapi terdapat juga isu mengenai disiplin guru itu sendiri. Apabila dibangkitkan tentang isu disiplin guru, mungkin ada yang merasakan bahawa ini bukanlah suatu isu yang besar kerana ianya sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah guru yang merasakan disiplin bukan penghalang mereka mencapai tahap profesional. Antara masalah disiplin dalam kalangan guru di sekolah adalah:

       ·         Guru lewat masuk ke kelas
       ·         Guru tidak menghadiri mesyuarat
       ·         Guru sering membatalkan kelas
       ·         Guru tidak menjaga etika
       ·         Guru tidak mampu mengawal emosi

Masalah disiplin guru ini dapat dilihat kesannya terhadap pelajar. Seperti mana ibu bapa, guru merupakan role model kepada pelajar kerana guru ialah individu yang dekat dengan mereka selepas ibu bapa. Sekiranya guru mempunyai masalah disiplin, pelajar sudah semestinya akan mempunyai masalah yang sama.  Ini kerana pelajar akan terikut-terikut dengan guru mereka. Ini akan membawa kepada hilangnya rasa hormat pelajar kepada guru. Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan berlakunya masalah disiplin guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan masa dan tekanan kerja di kalangan guru sekolah.


Antara langkah mengatasi isu disiplin guru ini ialah pengambilan guru perlu kaedah tapisan lebih baik, guru sendiri perlu ada inisiatif untuk memperbaiki diri dan guru perlu jadi contoh yang baik kepada pelajar. Di samping itu, guru yang sememangnya mempunyai masalah disiplin diri pula perlu berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik. Oleh itu, guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan diri dan melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi agar golongan itu bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran bahkan dari segi akhlak dan tingkahlaku. Kita seharusnya sanggup untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dan bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaga demi kemajuan anak muda bangsa seterusnya negara Malaysia.

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL : ISU 3 - GURU MENGAJAR SUBJEK BUKAN OPSYEN

Pelbagai isu yang sering dikaitkan dengan isu standard pengajaran profesional antaranya ialah guru mengajar subjek bukan opsyen. Sebahagian besar sekolah-sekolah di Malaysia mengalami masalah guru mengajar subjek bukan opsyen kerana kekurangan guru dan agihan guru tidak seimbang. Antara sebab berlakunya isu ini adalah ada guru yang menolak tawaran penempatan.  Ramai guru enggan melaporkan diri disekolah yang ditetapkan terutamanya di kawasan pendalaman serta di Sabah dan Serawak kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga terutama mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak. Ia menyebabkan penempatan guru tidak seimbang contohnya lebihan guru di kawasan bandar dan kekurang guru di kawasan luar bandar. Tambahan pula ramai graduan pendidikan menganggur kerana pengagihan penempatan guru ke lokasi yang tidak seimbang, pemilihan subjek pengajaran yang sama dan lambakan guru dalam opsyen subjek bukan kritikal.  Selain itu isu guru mengajar subjek bukan opsyen ini adalah lumrah terutama bagi guru-guru baru. Biarlah apa pun opsyen yang mereka ambil di universiti atau institusi latihan perguruan, tidak semestinya mereka akan mengajar subjek opsyen mereka itu di sekolah. Ini adalah berpunca daripada ketidaksepadanan dalam pengagihan guru di sekolah. Ia juga berpunca daripada keperluan sekolah itu sendiri yang mahukan guru mengikut kekosongan subjek yang ada.

Justeru, disebabkan oleh kurangnya konten mengenai subjek bukan opsyen yang hendak diajar, guru-guru cenderung untuk menjadi kurang yakin dan kurang bersemangat ketika mengajar. Segala konten mengenai subjek opsyen langsung tidak digunakan malah guru perlu mempelajari konten baru yang bertentangan dan tidak berkaitan dengan opsyen mereke. Justeru, pelajar pula menjadi kurang motivasi kerana mereka tahu guru tersebut tidak mempunyai konten yang cukup untuk mengajar mereka. Guru pula bersikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Impak yang paling ketara ialah penurunan prestasi pelajar. Ini menyebabkan guru tersebut tidak dapat mencapai standard pengajaran profesional.

Oleh itu, kita harus mengambil langkah-langkah untuk mengatasi isu-isu tersebut dengan menghadkan tempoh guru berkhidmat diluar bandar. Guru yang mengajar di sekolah luar bandar hanya berkhidmat dalam tempoh tertentu sahaja dan guru lain akan bertukar ganti dan begitu juga seterusnya. Selain itu, pihak kementerian pendidikan boleh memberi penghargaan kepada guru yang berkhidmat di luar bandar. Selain itu, guru juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi. Walaupun mengajar subjek yang bukan opsyen, guru boleh mencari inisiatif sendiri untuk mempelajari dan mendalami subjek yang hendak diajar itu.

Friday, 17 March 2017

ARTIKEL 1: BUDAYA SEKOLAH,KEPEMIMPINAN TRANSFORMASIONAL DAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR



Jurnal ini secara keseluruhannya kajian tentang budaya sekolah dan kekepemimpinan sekolah mampu menyumbang kepada pencapaian dan motivasi murid, kepuasan dan produktiviti guru. Kajian ini juga meneliti hubungan budaya sekolah dengan kepemimpinan transformasional dan pencapaian akademik pelajar sekolah rendah. Ulasan ini hanya menfokuskan tentang jurang pencapaian pelajar sekolah berprestasi tinggi dan sekolah berprestasi rendah dipengaruhi oleh budaya sekolah dan kekepemimpinan sekolah. Dapatan kajian mendapati budaya sekolah positif lebih tinggi dipraktikkan di sekolah berpencapaian tinggi berbanding di sekolah berpencapaian rendah. Situasi yang berbeza ini mungkin sekali disebabkan oleh ciri budaya positif yang menjadi amalan di sekolah. 

Di sekolah berprestasi tinggi, guru seronok dan selesa dengan budaya sekolah kerana wujudnya suasana saling percaya mempercayai dan keseronokan dalam bekerja. Jadi, guru-guru akan sentiasa bersemangat dan memberikan sepenuh perhatian kepada pelajar-pelajar. Tambahan pula, dapatan kajian mendapati sekolah yang berpencapaian tinggi memang menunjukkan pengurusan sekolah yang prihatin dengan kehendak dan keperluan pelajar. Bangunan sekolah dihiasi dengan warna-warna menarik, pelbagai mural dilukis di dinding sekolah, pelbagai maklumat disediakan di papan-papan kenyataan. Tambahan pula, tandas yang bersih, bangku-bangku disediakan untuk keperluan pelajar di kawasan sekolah. Ada bilik-bilik khas untuk pembacaan, pengukuhan serta pengayaan. Justeru itu, pelajar akan berasa selesa dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan serta pelajar dapat menjalani proses pembelajaran dan pengajran dengan baik.

Sementara di sekolah yang berpencapaian rendah, masih banyak papan-papan kenyataan yang tidak dikemaskini. Banyak ruang-ruang kosong yang tidak dimanfaatkan. Mural dan tulisan-tulisan berbentuk motivasi hampir padam dan tidak jelas. Tiada bangku atau tempat rehat yang mencukupi untuk pelajar, pusat sumber yang tidak teratur dan kondusif serta bilik kaunseling yang hampir tidak berfungsi. Bagi pendapat saya, sekolah boleh mendapatkan sokongan dari pelbagai pihak untuk membangunkan kemudahan di sekolah. Pihak persatuan ibu bapa dan guru boleh cuba mendapatkan sokongan daripada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah. Seperti mana yang kita tahu, sekolah yang tidak berbudaya positif atau berbudaya toksik sebaliknya menghalang kejayaan dan kecemerlangan sekolah.


Selain itu, kepemimpinan sekolah pencapaian tinggi pandai menjaga kebajikan dan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru atau dalam perkataan lain tidak meminggirkan hubungan kemanusiaan.  Walaupun di sekolah berpencapaian rendah, guru besar memberi ruang untuk mengemukakan idea, namun guru jarang bersuara. berikutan masalah komunikasi dengan guru besar. Bagi pendapat saya, guru-guru yang mempunyai masalah jangan berasa takut untuk berkongsi dengan guru besar. Cuba untuk berkomunikasi dan berkongsi pendapat dengan berbincang terlebih dahulu tanpa bersangka buruk terhadap majikan. Di samping itu, kepemimpinan sekolah seharusnya terbuka dan memberi ruang kepada guru untuk melibatkan diri membuat keputusan bersama. Jika tidak, mereka akan berasa tertekan dan tidak berasa seronok untuk bekerja. Jadi, ada guru yang mengabaikan pelajar mereka dan mengakibatkan pelajar tidak dapat menjalani proses pembelajaran dan pengajaran dengan baik.