Sudah menjadi kebiasaan selalunya gred permarkahan akan menjadi batu pengukur
pencapaian pelajar. Ini kerana keputusan peperiksaan yang baik akan dapat membantu
pelajar untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Di sekolah juga,
guru-guru ditekankan supaya banyak memberi latih tubi kepada
pelajar untuk membiasakan pelajar dengan pelbagai soalan yang akan dijawab
dalam peperiksaan nanti. Dengan menerapkan sikap sebegini akan menyebabkan guru
tidak berminat menggunakan kaedah yang lain di dalam pengajaran dan
pembelajaran.
Penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan
menyebabkan guru-guru mengabaikan aspek lain seperti minat
pelajar. Peperiksaan ini dianggap
perkara yang sangat penting sama ada oleh guru, pelajar dan ibubapa. Media
massa turut memainkan peranan dengan menghebahkan pencapaian pelajar dan
sekolah. Ini menyebabkan timbulnya budaya atau fenomena guru mengajar hanya
menfokuskan kepada isi kandungan dan kemahiran yang akan dinilai di dalam
peperiksaan. Pelajar pula akan diajar untuk mengingati model jawapan dan pengiraan dengan menggunakan rumus sehingga guru akan
memberikan latihan berterusan dan mengabaikan kaedah pengajaran.
Kesan yang tampak jelas apabila guru memfokuskan
kepada peperiksaan sahaja adalah pelajar yang dihasilkan tidak
berkualiti. Ini kerana pelajar hanya akan
belajar untuk lulus peperiksaan sahaja, mereka tidak dapat menerapkan ilmu yang
diajar diluar bilik darjah. Ini akan memberi kesan kepada masa depan
pelajar.
Penilaian yang dilaksanakan dengan sempurna
oleh guru dapat membantu murid mengatasi masalah pembelajaran yang telah
dikenal pasti pada peringkat awal lagi supaya kelemahan tersebut tidak
terhimpun seterusnya. Melalui aktiviti tindakan susulan yang efektif, guru
dapat membantu pelajar meningkatkan kemajuannya dalam pembelajaran dan
seterusnya memperoleh pencapaian cemerlang dalam penilaian sumatif dan
penilaian di peringkat pusat.